Novel: KERANA DENDAM *Prolog*


HEMBUSAN angin terasa menampar-nampar pipi mulus Areesya yang basah dek air mata. Sedari tadi, dia tidak mampu untuk menghentikannya. Ia terus mengalir dan mengalir ....dan mengalir. Sudah puas diseka, pipinya tetap sahaja basah. Bukan dia tidak redha, tapi dia hanya insan biasa yang punya hati dan rasa. Dia hanya insan biasa yang punya had kesabaran. Yang tahu merasa sakit apabila disakiti. Yang tahu merasa lelah apabila dibebani. Yang merasa kosong apabila ditinggalkan. Ya... ini Areesya yang tidak setabah mana lagi. Areesya yang kini bersarang pelbagai rasa dalam hatinya. Sedih. Sakit. Pedih. Marah. Benci. Kosong. Semua rasa itu sangat melelahkan. Malah rasa-rasa itulah juga yang kini membuahkan bibit-bibit dendam yang semakin memarak. Ya Allah! Kurniakanlah aku setebal-tebal kesabaran! Sungguh...ya Allah... sungguh perit rasa yang berkumpul di hati saat ini. Areesya melekapkan telapak tangan ke dada. Tempat yang sungguh sakit dan perit dirasa. Dia menarik nafas dalam dan menghembus perlahan-lahan. Sungguh Areesya merasakan tembok sabarnya semakin ampuh. Satu per satu bongkah-bongkah kesabaran itu  runtuh.
Mummy...”
Sedu-sedan semakin menyesakkan dada Areesya. 
“Kenapa...mummy tinggalkan... Esya secepat... ini, mummy? Esya... sudah tiada sesiapa lagi. Esya... sunyi. Hati Esya... sakit, mummy...” Tersekat-sekat suara Areesya diselangi dengan sedu-sedan yang seakan tidak berpenghujung.
Sudah tiga hari Datin Zulaikha pergi meninggalkan satu-satu anak kandungnya. Sudah tiga hari juga Areesya menangisi satu-satunya insan yang paling disayangi dan dicintainya di dunia ini. Insan yang banyak berkorban untuknya. Insan yang memimpin tangannya ketika dia jatuh. Merawat luka hatinya ketika dia disakiti dan menegur ketika dia terleka. Perginya Datin Zulaikha seolah-olah membawa pergi jiwanya yang semakin ampuh dan hampir lumpuh. Dalam tempoh tiga hari ini juga Areesya menghabiskan banyak masanya di tanah perkuburan itu.
“Esya...”
Senyap. Hanya sedu-sedan yang jelas kedengaran.
“Esya...”
Diam.
“Esya... daddy...”
“Cukup...” Bentak Areesya sebelum Datuk Elyas sempat meneruskan kata. Kedua belah tangan diangkat dengan sepuluh jari dikembangkan seketika tanpa memandang orang yang bercakap dengannya. Jantungnya berdegup laju menahan amarah yang sangat sukar untuk dikawal. Entah kenapa, setiap kali mendengar suara itu, hatinya bagai mendidih. Hidung dikesat pantas dengan tangan kanan. Kemudian air mata pula diseka laju.
“Esya...daddy cuma nak cakap...”
 “Cukup... Esya tak nak dengar apa-apa.”
“Dengarlah dulu apa yang daddy nak cakap...”
“Esya tak nak dengar apa-apa. Semua sudah jelas. Lebih baik daddy pergi cepat dari sini. Bawa perempuan tu sekali...” Areesya memusingkan badan menghadap Datuk Elyas seraya telunjuk Areesya menuding ke arah Julia a.k.a isteri baru Datuk Elyas. Tambah sakit hati Areesya bila melihat perempuan yang dianggapnya perampas itu turut ada di situ.
Membuntang mata Julia memandang Areesya. Terasa ingin dicilikan sahaja mulut Areesya yang cakap sesuka hati sesedap rasa itu. Terasa ingin ditampar mulut celupar itu.
“Hei...” Belum sempat Julia meneruskan kata-kata, Datuk Elyas memberi isyarat supaya isterinya itu diam.
Datuk Elyas tahu, kemarahan Areesya semakin memuncak saat ini. Dia juga sangat memahami, betapa bencinya Areesya kepada dirinya. Dia tidak mahu menambah kebencian satu-satu zuriat yang dia ada di muka bumi ini. Dijeling sekilas tangan Areesya yang sedang menggenggam penumbuk. Menggeletar. Kedua bibir diketap kuat. Menahan amarah yang semakin menjolok-jolok dada. Jantung berdegup laju seakan-akan mahu terkeluar dari tempatnya. Matanya yang sedia merah kerana menangis seperti mengeluarkan api kebencian yang sangat marak. Benci tahap tujuh petala langit, tujuh petala bumi.
“Kalau daddy masih rasa Esya ni anak daddy...please...tolong pergi dari sini...sebelum sesuatu yang tidak diingini akan berlaku.” Kali ini kata-kata Areesya berbaur ugutan. Dia tidak peduli. Sungguh dia benci. Benci!
Benci. Bukan sahaja benci kepada ‘perempuan itu’ a.k.a Julia Si Perampas kebahagiaannya sekeluarga tetapi juga kebencian terhadap manusia yang bergelar daddy itu. Dia tahu, tidak patut dia membenci ayah kandung sendiri, tapi hatinya tidak mampu untuk dipujuk lagi.
Datuk Elyas mengeluh. Kecewa. Hajat hati ingin membawa Areesya tinggal bersamanya tidak mungkin akan tercapai. Terasa sungguh berat hatinya untuk meninggalkan Areesya sendirian. Areesya darah dagingnya. Satu-satunya anak yang dia ada di muka bumi ini. Mana mungkin dia tidak menyayanginya. Ya Allah, lembutkanlah hatinya.
“Sayang...cepatlah. Tak tahan lama-lama kat sini. Panas.” Sindiran Julia itu dibalas dengan jelingan yang cukup tajam dari sepasang mata merah Areesya.
“Huh!”
“Cepatlah...kalau you tak nak balik, you tinggallah sini dengan anak kesayangan you tu. I nak balik.” Seperti budak kecil yang merengek kerana tidak mendapat gula-gula. Julia membentak seraya terus melangkah dengan hentakan kaki seperti raksasa. Menyampah. Mulut dimuncungkan tanda protes. Sakit hatinya tidak dapat membalas kata-kata Areesya sebentar tadi. Kebenciannya terhadap Areesya semakin menggunung. Dia tahu, Areesya sangat marah kepadanya kerana berkahwin dengan Datuk Elyas disaat Datin Zulaikha terlantar sakit. Tapi dia tidak peduli. Apa yang penting, dia dapat kahwin dengan lelaki kaya itu. Lagipun, Datuk Elyas yang terhegeh-hegeh mahukannya. Tersuging senyuman sinis di bibirnya.
Areesya langsung tidak memandang. Rasa nak muntah pun ada. Menyampah. Lebih menyampah dari segala rasa menyampah yang ada di muka bumi ini. Areesya mencebik dengan penuh rasa meluat. Namun dalam masa yang sama, dia masih berusaha untuk mengumpul secarik demi secarik kesabaran yang berterabur di dalam hatinya. Dicantum... agar menjadi sebidang kesabaran yang mampu mententeramkan jiwanya saat ini. Oh masa, cepatlah berlalu! Jika tidak, ada jugak yang berterabur gigi dek terkena penumbuknya nanti.
Daddy  sayangkan Esya...Esya anak daddy dunia akhirat.  Jaga diri.” Syahdu ayat itu dituturkan. Terserlah keikhlasan penuturnya. Memang Datuk Elyas memaksudkan apa yang dituturkannya.
Areesya memejamkan matanya rapat. Menitis air mata setitis. Dia tidak tahu harus terharu atau tidak dengan ucapan Datuk Elyas itu. Apa yang pasti, ada rasa sakit yang semakin mencengkem-cengkam hatinya. Tidak akan mudah baginya untuk mendamaikan jiwa yang dilanda taufan  itu. Tidak akan. Tiada siapa yang tahu betapa menderitanya Datin Zulaikha di saat akhir kehidupannya. Setiap ketika asyik menyebut nama Datuk Elyas. Memohon ampun kepada lelaki itu. Lelaki yang menghancurlumatkan hati dan jiwanya.
“Abang...ampunkan, Zu. Ampunkan semua kesalahan, Zu pada abang.” Wajah lesu dan pucat itu tidak henti-henti mengalirkan air mata.
Mummy... jangan la macam ni. Esya ada di sini. Esya sayang sangat pada mummy. Mummy rehat ya...” pujuk Areesya lembut walau hatinya membara menahan amarah terhadap lelaki yang disebut-sebut oleh mummynya itu. Hatinya bagai direnyuk-renyuk dengan kejam bila melihat keadaan Datin Zulaikha. Sungguh dia tidak menyangka, betapa kejam Datuk Elyas terhadap orang yang pernah disayang sepenuh hatinya suatu ketika dahulu. Seorang wanita yang telah melahirnya zuriat dari benihnya sendiri. Kenapa ada manusia sekejam itu? Bentak hatinya.
“Esya... mummy nak jumpa daddy...” Nadanya sayu merayu.
Mummy... daddy sibuk. Kalau daddy tak sibuk nanti, daddy datang sini.” Pujuk Areesya lembut bernada memujuk. Seperti memujuk anak kecil sahaja lagaknya. Sekilas jemari runcingnya menyeka air mata yang menuruni pipi mulusnya. Seketika kemudian, jejari runcing itu mengelus lembut pipi yang semakin cengkung yang dimiliki oleh seorang wanita yang paling disayanginya itu. Dengan lembut, air mata di pipi cengkung itu dikesat agar tidak menimbulkan walau secubit kesakitan. Tubuh kurus itu dipeluk erat.
Mummy... tak mungkin daddy akan datang ke sini saat ini. Daddy sedang berbulan madu dengan perempuan itu...’ kata-kata itu hanya terbit di dalam hatinya. Tidak mungkin akan dituturkan di hadapan Datin Zulaikha yang sangat merindui lelaki yang bergelar suaminya itu. Walaupun Datin Zulaikha tahu suaminya telah berkahwin dengan perempuan lain, tapi Areesya tidak sanggup menuturkan ayat itu di hadapan Datin Zulaikha. Dia yakin hati itu sangat terluka walaupun di mulut mengatakan redha dengan perkahwinan itu. Buktinya, selepas pernikahan Datuk Elyas dengan Julia, sakit Datin Zulaikha semakin tenat.

Bahu Areesya tersenggut-senggut kerana menangis. Setelah bunyi kenderaan Datuk Elyas berlalu pergi, Areesya menunduk dan berteleku di hadapan pusara ibunya. Tangisannya semakin menyayat hati bagi sesiapa yang mendengarnya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

BEIJING 2013

BEIJING 2013